Pages


Banyakkan Berselawat....

Banyakkan Berselawat....

10 July 2010

ISRA' MIKRAJ



‘Masa adalah kehidupan.’
Betapa benarnya ulama’ tersebut tatkala beliau mengungkapkan kata-kata di atas. Masa lebih berharga dari emas, tidak mampu dijual beli dan tiada gantinya.
Detik masa akan sentiasa berlalu. Hari bertukar bulan, dan bulan bertukar tahun. Dan kini, samada kita sedar ataupun tidak, kita sudah menghampiri ke penghujung bulan Rejab. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama muhasabah diri, sejauh mana penghayatan kita terhadap bulan-bulan yang telah Allah sediakan untuk kita.


BULAN REJAB

Bulan rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram dalam kalendar Islam.

إن عدة الشهور عند الله اثنا عشر شهرا فى كتاب الله يوم خلق السموت والأرض منها أربعة حرم
‘Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram.’
At-Taubah : 36


Selain Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram, Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan mulia, dimana diharamkan pertumpahan darah padanya. Juga sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain, bulan Rejab dihiasi dengan ukiran peristiwa-peristiwa perjuangan Rasulullah dan Umat Islam. Bulan Rejab menjadi saksi kepada Hijrah pertama ke Habsyah, peristiwa Isra’ Mikraj, Perang Tabuk, pembukaan semula Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dan beberapa peristiwa yang lain.

ISRA' MIKRAJ

Peristiwa Israa’ Mikraj merupakan antara peristiwa yang paling istimewa dan luar biasa dalam hidup Baginda s.a.w. Beliau telah menjadi undangan Allah s.w.t. Dari Makkah ke Baitul Maqdis, dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, beliau telah dimuliakan dengan pertemuan langsung dengan Allah s.w.t, pada tempat yang mana malaikat sendiri tidak dapat hadir.

سبحن الذى أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذى بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير
‘Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’
Al-Isra’ : 1


Luka kehilangan Abi Talib dan Khadijah masih merah di hati, tatkala Rasulullah dengan penuh harapan memilih untuk berdakwah ke Thoif. Alangkah sedihnya hati tatkala menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan oleh penduduk Thoif. Dalam pada itu, Rasulullah mengungkapkan kata-kata yang penuh bermakna;
إن لم تكن بك علي غضب فلا أبالى
‘Sekiranya engkau (wahai Allah) tidak murka kepadaku, maka aku tidak kisah.’

Betapa jelasnya Rasulullah s.a.w akan tugas yang dipikulnya. Beliau hanya penyampai dan Allah jualah pemberi hidayah. Para malaikat dan seluruh alam berkongsi kesedihan Rasulallah s.a.w, sehinggakan malaikat menawarkan untuk membinasakan penduduk Thoif.
Inilah suasana dimana berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj. Tatkala muslimin bersedih dan tertanya-tanya adakah masih ada sinar harapan untuk dakwah ini.
Allah telah memilih masa yang paling sesuai untuk menyeru kekasih-Nya. Pertemuan dengan Allah s.w.t telah mengubati kesedihan Rasulullah s.a.w. dan memberi semangat baru kepada Baginda.

Umat Islam telah dihadiahkan dengan kewajipan solat. Kewajipan utama yang bakal menjadi rahsia perpaduan dan kekuatan ummat Islam. Betapa pentingnya solat sehinggakan Rasulullah s.a.w sendiri naik ke langit untuk menerimanya, dan bukan melalui perantaraan Jibril seperti kewajipan-kewajipan yang lain.
Peristiwa Isra’ Mikraj juga menjadi petanda bahawa Islam akan menerajui tampuk pemerintahan dunia satu masa nanti. Dengan menyebut Masjidilharam dalam ayat pertama surah Al-Isra’, Allah telah menjanjikan Makkah untuk muslimin, sedangkan Kaabah ketika itu dipenuhi berhala. Perjalanan Rasulallah s.a.w yang aman dari Makkah ke Palestin juga menjadi tanda bahwa Islam akan menguasai tanah diantara kedua-duanya.
Perjalanan Rasulullah s.a.w ke Baitul Maqdis menjadi petanda akan kepentingan dan ketuanan bumi Palestin kepada umat Islam. Bumi yang menjadi rebutan dan sentiasa bergelojak ini akan hanya aman apabila muslimin kembali memerintahnya.


REJAB DAN RAMADHAN

Apabila tibanya bulan Rejab, Rasulullah s.a.w akan meningkatkan amalan beliau. Terutamanya puasa. Ini kerana Rejab merupakan titik tolak untuk menghadapi Ramadhan. Doa Rasulallah s.a.w ketika datang bulan Rejab;
اللهم باركلنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان
‘Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan pertemukanlah kami (panjangkan umur kami sehingga dapat berjumpa) dengan Ramadhan.’
Apabila tiba sahaja Ramadhan, Rasulallah s.a.w dan para sahabat akan mengucapkan selamat tinggal sesama mereka. Beruzlah dan bermunajat, masing-masing berusaha untuk mencapai tahap yang tertinggi di sisi Allah s.w.t. Jelas kelihatan kesungguhan mereka, kesungguhan yang bermula daripada Ramadhan yang lepas, ditiupkan pada awal Rejab, yang akhirnya membara dan terus meningkat di bulan Ramadhan.

SYAABAN MENANTI

Rejab yang bersejarah dan penuh dengan kebaikan ini akan pergi meninggalkan kita. Sedangkan kita baru sahaja berkenalan dengan Isra’ Mikraj, kepentingan Al-Quds dan perjuangan saudara kita disana.
Ramadhan al-Mubarak semakin menghampiri, malangnya kita masih belum mengorak langkah kearahnya. Puasa sunat kita masih longlai.
Adakah begitu malang nasib kita?
Sahabat yang dikasihi sekalian, ketahuilah bahawa pintu kebaikan sentiasa terbuka luas. Dan Allah tidak akan sesekali mensia-siakan amalan hambanya yang ikhlas.
إن الذين ءامنوا وعملوا الصلحات إنا لا نضيع أجر من أحسن عملا
‘Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.’
Al-Kahfi : 30


Pedoman yang diambil dari kealpaan yang lalu,
Lebih bermakna dari ilmu yang dibiarkan membisu.
Sekiranya pemergian Rejab itu ditangisi,
Semoga Syaaban yang bakal menanti menghiburkan hati.
Sedikit peringatan buat semua,
Dalam keasyikan memburu cinta,
Jangan lupa perjuangan mereka disana.


08 July 2010

ILMU


KATA-KATA SAIDINA ALI K.W:

"Barangsiapa yang menuntut ilmu, sesungguhnya syurga itu sentiasa menuntutnya. Barangsiapa yang menuntut maksiat,sesungguhnya neraka itu sentiasa menuntutnya."

Ilmu itu adalah lebih baik dari harta kerana:
1. Ilmu adalah warisan para nabi,manakala harta adalah warisan Qarun dan fir'aun.
2. Ilmu menjaga dan memelihara tuannya,manakala harta pula,tuannya perlu menjaganya.
3. Orang yang mempunyai ilmu ramai sahabatnya. Manakala orang yang mempunyai harta,ramai musuhnya.
4. Ilmu itu jika diajarkan,ia akan bertambah. Manakala harta pula jika dibelanjakan ia akan berkurangan.
5. Orang yang berilmu diseru dengan nama kebesaran dan kemuliaan. Manakala orang yang berharta pula diseru dengan kecelakaan dan kebakhilan.
6. Ilmu tidak perlu dijaga daripada pencuri. Manakala harta pula perlu dijaga dari kecurian.
7. Ilmu dapat memberi syafaat kepada tuannya. Orang yang berilmu dapat memberi syafaat kepada orang lain. Manakala orang yang berharta, akan dihisab pada Hari Kiamat.
8. Ilmu adalah kekal,manakala harta akan kehabisan dan tidak akan kekal.
9. Ilmu dapat menerangkan hati. Manakala harta pula dapat mengeraskan hati.
10. Orang yang berilmu mendakwa kehambaan(bersifat rendah diri). Manakala orang yang berharta mendakwa ketuhanan.


06 July 2010

SELAMAT JALAN TEMAN!!!


Sebiru hari ini
birunya bagai langit terang benderang
sebiru hari kita
bersama disini
seindah hari ini
indahnya bak permadani taman syurga
seindah hati kita
walau kita kan berpisah

reff:bukankah hati kita telah lama menyatu
dalam tali kisah persahabatan illahi
pegang erat tangan kita terakhir kalinya
hapus air mata meski kita kan terpisah
selamat jalan teman
tetaplah berjuang semoga kita bertemu kembali
kenang masa indah kita
sebiru hari ini


Buat sahabat2 yang akan meneruskan perjuangan di UIA Kuantan dan Gombak,

Selamat berjuang ke Kuantan dan Gombak.
Semoga sahabat2 sentiasa diberkati kerana orang yang menuntut ilmu di jalan Allah akan dipermudahkan langkahnya ke syurga.
Doakan dayah agar sama2 dapat bejuang di Kuantan kelak bersama sahabat2.
Sayang sangat pada semua sahabat..

SELAMAT JALAN TEMAN!!!
TERUSKAN PERJUANGAN!!!



29 June 2010

Mana kami nak pergi???



“Siapa yang berbuat baik (beri kasih sayang) kepada anak yatim lelaki atau perempuan, adalah aku dan dia di dalam Syurga seperti dua ini (ditunjukkan dua jarinya yang dirapatkan).” (Riwayat Al Hakim).


RUMAH Titian Kasih yang disewa di Taman Tasik Titiwangsa.

70 penghuni Rumah Titian Kasih tiada tempat dituju selepas diarah keluar

KUALA LUMPUR: Nasib lebih 70 penghuni wanita dan kanak-kanak di rumah perlindungan golongan kurang bernasib baik, Rumah Titian Kasih (RTK) kini ibarat telur di hujung tanduk kerana mereka tidak lagi mempunyai tempat untuk berlindung selepas diarah keluar dari rumah yang disewa sekarang sebelum 1 Julai ini.

Ia berikutan RTK yang sebelum ini pernah melancarkan kutipan dana untuk memiliki rumah bernilai RM2.5 juta itu yang terletak di Persiaran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa di sini, gagal membelinya kerana dana yang dikumpul tidak mencukupi selain tiada pihak termasuk bank dan agensi kerajaan berkaitan bersetuju membantu usaha itu.

Pengasas RTK, Sharifah Adlan atau lebih dikenali sebagai Mak Pah di kalangan penghuni, berkata pihaknya menerima notis supaya berpindah dari rumah itu pada hujung tahun lalu dan ia dilanjutkan pemilik kediaman sehinggalah pemilik meminta mahkamah mengeluarkan arahan keluar dari rumah itu pada April lalu.

Oleh kerana kami tidak ada tempat sesuai untuk berpindah, jadi kami bersetuju membeli rumah itu dan mula melancarkan kutipan dana untuk tujuan itu selain memohon pinjaman bank. Namun, bank menolak permohonan kami minggu lalu dan kami kini buntu untuk menyelesaikan masalah ini.

Kami juga pernah meminta bantuan dari semua saluran kewangan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi maklum balas yang diberikan amat mengecewakan.

Permohonan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga gagal.

Alasan mereka ialah perlu men gutamakan asnaf lain yang lebih memerlukan sedangkan semua penghuni di sini memenuhi kriteria asnaf. Lebih dikesalkan, pihak Baitulmal memberi alasan RTK sering mendapat tajaan dan bantuan kerana kekerapan muncul di media massa, katanya kepada Sentral.
Beliau berkata, lebih 11 tahun beroperasi, bantuan yang diterima selama ini sebenarnya hanya cukup untuk perbelanjaan operasi RTK saja dan tidak diberikan secara tetap.

Sekarang kami buntu untuk menyelesaikan masalah kediaman ini. Kami hanya mahukan rumah untuk penghuni berlindung, katanya.

Beliau berkata, RTK sebolehnya tidak mahu mencari bangunan di luar Kuala Lumpur kerana pusat perlindungan berkonsep Islam seumpama ini masih kurang bilangannya di sini.

Ia amat diperlukan golongan seperti ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta wanita dan kanak-kanak terbiar, pernah didera serta dirogol.

Kami memang mempunyai sebuah lagi rumah perlindungan tetapi ia dikhaskan untuk penghuni lelaki yang berjumlah lebih 50 orang. Tak mungkin kami boleh tempatkan semuanya di situ.

Pusat sebegini penting kerana ia berfungsi sebagai pelindung kepada mereka yang tidak ada tempat lagi untuk dituju, katanya.

Sementara itu, seorang penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Mak Linda, 37, berkata beliau merayu kepada mana-mana pihak supaya membantu menyelesaikan masalah penempatan penghuni di RTK kerana ia mengutamakan kebajikan wanita dan kanak-kanak Islam.

Berdasarkan pengalaman, tidak dinafikan ada segelintir pihak tertentu yang bila-bila masa saja boleh mengambil kesempatan terhadap golongan tidak bernasib baik ini termasuk memesongkan akidah golongan ini jika ingin menerima bantuan daripada pihak terbabit. Tetapi di sini, akidah kami dijaga kerana ia mementingkan aspek itu.

Selama hampir tujuh tahun, saya dan tiga anak berlindung di sini selepas kematian suami. Mak Pah dan sukarelawan di sini banyak membantu kami dan rakan senasib. Sedih sekiranya kami terpaksa juga keluar dari rumah berkenaan dan bersesak-sesak pula di rumah penghuni lelaki, katanya.

Penghuni yang juga sukarelawan RTK, Akmar Abu Bakar, 35, berkata beliau khuatir jika fokus RTK yang pernah mendapat anugerah Rumah Kebajikan Terbaik daripada JAWI, untuk mendidik dan melindungi penghuni rumah itu terjejas kerana kumpulan ini amat memerlukan bukan saja sokongan material malah moral dan emosi.

Ramai orang tidak menyedari hal ini dan tidak mahu menyelami permasalahan kami sehingga ada institusi yang sanggup memberi pelbagai alasan untuk tidak membantu. Ia menyedihkan memandangkan kebanyakan kes yang dihantar ke sini adalah dari agensi seperti JKM dan hospital.

Inilah tempat untuk golongan seperti saya melupakan trauma dan krisis yang dihadapi. Agak susah untuk mencari rumah perlindungan yang strategik dengan kemudahan sekolah dan hospital yang berdekatan. Jadi, saya merayu kepada pihak yang sudi supaya membantu kami dalam hal ini, katanya.

Di antara Hadis yang menunjukkan betapa besarnya kasih sayang Rasulullah ialah: “Barang siapa yang tidak mengasihi manusia, dia tidak dikasihi Allah. “(Riwayat At Termizi).



"Anjang baca paper berita harian hari ni tau,pasal rtk"

Ana agak hairan kenapa tiba2 sahabat seperjuangan ana mengantar mesej agar ana baca surat khabar. Ana memesan agar sahabat ana membelikan ana surat khabar berita harian,tetapi ternyata sudah habis. Alhamdulillah,adik kesayangan ana,husna memberi link agar ana dapat baca.
Saat itu,hanya Allah yang tahu betapa terkejutnya ana memikirkan nasib kanak2 dan wanita2 yang dijaga oleh mak pah.
Sebenarnya dengan izin Allah, ana berpeluang bersama penghuni2 rtk ini kerana adik ana,husna pernah menganjurkan program bersama penghuni rtk ini. Hati ana sangat tertaut pada penghuni rumah ini.

Ana teringat kembali bagaimana suasana sewaktu kami berprogram bersama penghuni rtk ini. Kedatangan kami di sambut oleh kanak2 kecil yang sangat gembira dengan kedatangan kami. Persoalanku, kenapa kanak2 secergas ini dimasukkan di sini? Akhirnya terjawab setelah mak pah menerangkan serba sedikit tentang latar belakang rtk ini. Perasaan ana saat itu,ingin ana jadi seperti mak pah suatu hari nanti.

Baru ana tahu betapa kanak2 ini memerlukan kasih sayang daripada seseorang. Perkara ini membuatkan ana muhasabah kembali,adakah selama ini ana bersyukur pada Allah kerana ana mendapat kasih sayang yang lengkap daripada keluarga. Tapi bagaimana nasib insan2 ini yang dari kecil sudah ditinggalkan.

Mak pah banyak memberi ana kesedaran bahawa kalau bukan kita yang nak prihatin pada kanak2 dan wanita ini,siapa lagi??? Mak pah sangat berjiwa kental. Beliau menguruskan sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari sesiapa. Terlalu besar pegorbanan mak pah buat masyarakat.

Ana masih ingat pesanan mak pah buat kami,"adik,mak pah tak nak minta duit adik,mak pah cuma harap adik2 sayang la penghuni di sini macam keluarga adik2. Mereka sangat perlukan kasih sayang daripada kita. Mak pah tak paksa adik2 datang tiap2 minggu. Tapi follow up la mereka agar mereka rasa diri mereka dihargai."

Ana rindu sekali pada penghuni rtk ini. Bersama mereka memberi banyak erti dan membuat ana banyak berfikir. Apa kita nak jawab bila Allah tanya nanti adakah kita bersenang lenang sahaja sedangkan ada yang memerlukan bantuan???
Apa kita nak jawab teman2 seperjuangan sekalian.
Berapa ramai yang sanggup berkorban seperti mak pah ini. Sama2 lah kita hargai orang yang sangat prihatin pada masyarakat. Tanpa sukarelawan seperti mak pah,apa akan jadi kepada kanak2 dan wanita2 ini.....

"Ya Allah, kau bantulah saudara kami ini Ya Allah.Kuatkanlah mereka Ya Allah. Gantilah dengan yang lebih baik lagi Ya Allah. HanyaMu sebaik2 penolong."

“Kasihilah siapa sahaja yang ada di bumi nescaya akan mengasihi kamu siapa-siapa sahaja (malaikat) yang di langit.” (Riwayat Abu Daud).



28 June 2010

(Jikha duka hawa ka) "Perjuangan Engkau Terhadap Hawa Engkau"


Janji Kesolehan oleh Nafsu

Ketika engkau papa,nafsumu selalu menjanjikan kezuhudan. Namun ketika engkau banyak harta ia mendorongmu pada kerakusan. Ketika engkau belum Berjaya,nafsumu selalu menjanjikan kesyukuran. Namun ketika engkau berkuasa, ia mendorongmu pada kekufuran. Ketika engkau tidak punya jawatan, nafsumu menjanjikan kewarakan. Namun ketika engkau punya kedudukan, ia mendorongmu hilang amanah. Nafsu selalu menjanjikan kesolehan kepadamu ketika dirimu tidak punya apa-apa. Sedangkan, ketika engkau banyak harta, ia selalu mendorongmu pada kemaksiatan.(Al- Muhasibi)

HADITH 41

TERJEMAHANNYA:
Dari Abi Muhammad ‘Abdillah bin ‘Amru bin al-As radiyallahu ‘anhuma katanya: Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya ata kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.

MENDAHULUI IMAN

Dalam menghadapi perkara ini seorang itu selalu diganggu atau dihalangi oleh bisikan hawa nafsunya, dan terjadilah pertentangan terhadap keimanan hingga perintah atau larangan yang terang dan tegas dari Allah dan RasulNya ditinggalkan atau dikemudiankan atau ditempuhkan dan ada kala ditolaknya kerana dipengaruhi oleh keinginan hati dan hawa nafsu. Hal ini amatlah berlawanan dengan tabiat dan jiwa serta akhlak orang yang beriman sebagaimana yang telah dikatakan Rasulullah; “Bahawa tidak beriman seorang kamu hingga hawanya mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
Inilah kewajipan mutlak atas tiap-tiap orang yang beriman dan ini pula yang menjadi tuntutan asas atas tiap-tiap orang Islam, kerana antara iman dan Islam tidak ada perbezaan hakikat. Kedua-duanya tidak mungkin dipisah dari peribadi seorang insan yang menyedari wujudnya kebesaran Ilahi.
Memang sukar melawan hawa nafsu. Tetapi bagi seorang yang beriman, dalam usahanya untuk menunjukkan keimanan dan kecintaan atau kasih sayangnya terhadap agama Allah dan RasulNya wajiblah menundukkan kemahuannya dan memimpin peribadinya untuk menerima petunjuk dan perintah Rasul. Kerana inilah erti cinta sejati yang bertalian dengan iman yang mesti diutamakan dan didahulukan dari kecintaan kepada yang lain.
“Tidak beriman seorang kamu hingga adalah aku lebih cinta kepadanya daripada dirinya dan anaknya dan isterinya dan manusia sekaliannya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)


MENDAHULUKAN HAWA NAFSU

Jika mendahulukan hawa nafsu, maka segala kebaikan tidak akan berlaku kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan suatu yang dikehendaki iman.
Hawa nafsu ialah punca segala kejahatan. Mendahulukannya menyebabkan keruntuhan iman,akhlak dan kesejahteraan hidup. Rasulullah menyatakan; “Tiada beriman seorang kamu sehingga hawanya mengikut apa yang aku bawa.” Tetapi yang dibawanya tidak dapat diterima oleh hawa nafsu seorang begitu sahaja dengan cara yang mudah dengan alas an yang bermacam-macam ragam. Inilah sebabnya Allah telah mensifatkan mereka sebagaimana yang diterangkan pada firmanNya ini:
“Jika mereka tidak dapat memperkatakan bagi engkau,maka ketahuilah bahawa mereka hanya menurut hawa-hawa nafsu mereka; dan siapakah orang yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya denga tidak ada petunjuk daripada Allah?”


Menurut al-Ghazali : Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa. Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang juga boleh membelenggunya sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan peranannya.Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang akan mendatangkan kecelakaan , ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan sekali-kali diberi muka dan dilayani keinginannya.


Ulama sufi menganjurkan tiga langkah untuk melemahkan hawa nafsu:

Pertama, setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan. Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung atau ditambat, ia menjadi jinak juga akhirnya.

Kedua, hendaklah diberikan suatu tekanan atau deraan yang berat ke atasnya. Umpama keldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya, nescaya ia menjadi lemah dan akan menurut perintah, apa lagi kalau dikurangkan rumput untuknya.

Ketiga, hendaklah sering berdoa, memohon perlindungan daripada Allah Taala agar terselamat daripada angkara nafsu jahat (nafsu ammaratun bil-su`).

Langkah ini penting, kerana hanya dengan mendapat rahmat Allah Taala, hamba-Nya akan bebas daripada pengaruh atau runtunan nafsu.


Dalam al-Quran, Allah mengisahkan, bahawa nabi Allah Yusuf alaihissalam bersabda, mafhumnya : “Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan,kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun,Maha Penyayang.”(12 : 53)


Nafsu yang berada di dalam diri kamu itu adalah sasaran utama bagimu, jika kamu Berjaya menundukkannya maka untuk selainnya itu adalah lebih mudah.
(As-Syahid Imam Hassan Al-Banna)


26 June 2010

TAZKIRAH DARIPADA PEMANDU BAS


Mungkin kita seringkali dengar bahawa tazkirah hanya disampaikan oleh ustaz,ustazah,imam dan yang banyak ilmunya. Tapi post ana kali ini ingin ana kongsi tazkirah yakni peringatan yang ana dapat daripada seorang pak cik yang memandu bas.
Hebatkan pakcik ni.. Teruskan membaca.

1. Demi masa
2. Sungguh,manusia berada dalam kerugian.
3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kebenaran.
(Al-'Asr)


Peringatan itu penting sepertimana suruhan Allah dalam Surah Al-'Asr yang menyeru agar kita saling nasihat-menasihati.

Sewaktu ana berada dalam bas bersama sahabat2 untuk ke kotaraya ana terdengar pakcik bas ini memberi komen tentang perkahwinan. Komennya, "Nak kahwin,jangan sibuk nak buat majlis besar2 sehingga hutang keliling pinggang. Dah dapat cucu,hutang kahwin dulu pun tak habis bayar lagi. Apa yang penting,anak2 kita selamat diijabkabulkan dengan sah, tak adalah kena tangkap basah ke. Terutama anak perempuan. Kalau mereka dah kahwin,mak ayah ni rasa tenang sikit, kalau tak rasa risau macamana la anak perempuan nanti kalau mak ayah dah tak ada."


Buat mawar2 agama, lihatlah betapa kehadiran kita dihargai. Jagalah maruah kita yang mahal itu. Tanpa maruah diri, rendahlahlah diri kita.

Pak cik ni memberi sedikit peringatan yang bagi ana sangat bermakna buat diri yang bergelar muslimah.
"Perempuan sekarang ni bukan macam perempuan dahulu, orang sekarang dah tak reti buat apa2 dah"
"Yang bergelar pelajar,asyik belajar aja. Dapur dah tak masuk2. Balik rumah, mak aja yang masak. Sekali sekala tengok la mak masak tu, nanti sikit2 boleh belajar."

Ana selalu dengar ungkapan ini daripada orang2 tua, "Orang perempuan ni, hebat mana dia belajar pun, dapur juga tempatnya. Tak akan boleh lari dari dapur"
Bagi ana kenyataan ini ada benarnya. Tak perlu kita menjadi tukang masak yang hebat, tetapi cukuplah sekadar kerja dapur menjadi kebiasaan buat kita yang bergelar wanita.


"Perempuan ni ada satu masalah lagi, asyik nak berlawa aja. Asal nak ke majlis2,semua nak pakai baju baru."

Bagi yang bergelar perempuan, adakah kenyataan ini terkena pada diri kita???

Mari kita kembali meyemak surat cinta daripada Allah, yakni Al-Quran yang memberi banyak peringatan buat kaum wanita dalam berhias.

Pada dasarnya perhiasan dalam erti kata mempercantik diri dan selain diri agar orang lain merasa senang memandang adalah diharuskan.Perhiasan itu selama mana ianya tidak bertentangan dan berlawanan dengan syara‘ adalah sangat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Sebagai contoh, Allah memerintahkan agar manusia memakai perhiasan pada setiap kali pergi ke masjid, firmanNya:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-‘Araf, ayat 31)

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Dan tetaplah di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Dalam Islam hukum bersolek bagi wanita ada pelbagai keadaan, ada hukumnya wajib, sunat, makruh dan haram, bergantung kepada keadaan dan niat atau tujuan ia dilakukan. Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj. Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal memakai baju dari lu'lu' (permata), atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Beberapa Hadis Rasulullah saw sebagai paduan

أيَّمَا امْرَأَةٍ وَضَعَتْ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا، فَقَدْ هَتَكَتْ سِتْرَ مَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Siapa saja di antara wanita yang menanggalkan pakaian-nya di selain rumah suaminya, maka ia telah mengoyak tirai pelindung antara dirinya dan Allah Azza wa Jalla.

مَثَلُ الرَّافِلَةِ في الزِّينَةِ في غَيْرِ أهْلِهَا ، كَمَثَلِ ظُلْمَةٍ يَوْمَ القِيَامَةِ لاَ نُورَ لهَا

“Permisalan wanita yang berhias untuk selain suaminya, adalah bagaikan kegelapan pada hari kiamat, tidak ada cahaya baginya.”

Maksudnya adalah wanita yang berlenggak-lenggok ketika berjalan dengan menarik pakaiannya, akan datang pada hari kiamat dalam keadaan hitam dan gelap, bagaikan berlenggak-lenggok dalam kegelapan. Dan hadits ini walaupun lemah, tetapi artinya benar, karena kenikmatan dalam maksiat adalah siksaan, wangi-wangian akan menjadi busuk dan cahaya menjadi kegelapan. Kebalikan dari taat, bahwa bau mulut orang yang berpuasa dan darah orang yang mati syahid lebih harum di sisi Allah dari bau minyak kasturi."

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي نِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، عَلَى رُؤُوسِهِنَّ كَأَسْنِمَةِ البَخْتِ ، اِلْعَنُوهُنَّ فَإنَّهُنَّ مَلْعُونَاتٌ

“Akan ada pada akhir umatku nanti wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, kepala mereka bagaikan punuk unta, laknatlah mereka karena mereka adalah wanita-wanita yang pantas dilaknat.”

InsyaAllah,semoga menjadi peringatan buat yang bergelar muslimah.


Artikel lebih mendalam:http://saifunnizam.blogspot.com

25 June 2010

KELEBIHAN SEBAGAI SATU ANUGERAH...



Setiap manusia yang berada di dunia ini telah dikurniakan Allah Taala dengan berbeza-beza kelebihan dan keistimewaan. Ada di kalangan manusia yang bijak mengatur bicara, ada yang pandai bermain dengan pena, ada yang tajam pemikirannya dan ada pula yang merdu suaranya. Malah bermacam-macam lagi keistimewaan tersendiri yang dikurnia Allah Taala kepada manusia. Allah Taala telah berfirman di dalam surah Al-Luqman pada ayat ke-27 yang bermaksud,

“Dan kalaulah sekiranya pohon-pohon yang ada di bumi ini (dijadikan) kalam, dan laut pula (dijadikan dakwatnya) ditambah lagi sesudah itu dengan tujuh lautan, tidak akan habis kalimat Allah (untuk dituliskan). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Sungguh tidak terhitung banyaknya nikmat Allah Taala sehingga tiada terdaya untuk manusia menyenarai segala nikmat yang telah dikurniakan. Sebagai hambaNya, pernahkah kita bersyukur di atas segala kelebihan yang ada pada diri kita, yang mungkin orang lain tidak ditakdirkan untuk memilikinya? Pernahkah kita bersyukur atas ketajaman akal kita sebagai seorang pemerintah yang disegani manusia lain? Pernahkah kita bersyukur atas kepakaran kita dalam bidang ilmu sains sehingga mampu mencipta rekaan-rekaan baru yang mampu mengubah nasib manusia lain? Atau pernahkah kita bersyukur atas kehebatan tulisan-tulisan kita sehingga mampu mengubah minda manusia lain yang membacanya? Sama-samalah kita renungkan.


Selain itu pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, ke manakah kita gunakan kelebihan-kelebihan yang telah Allah kurniakan? Adakah kita menggunakannya untuk mendapatkan keredhaan Allah atau adakah kita menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri dengan memperdayakan insan lain? Ingatlah segala-segalanya akan ditanya Allah Taala di padang Mahsyar nanti.

Analogi yang sama juga boleh kita gunakan dalam usaha kita untuk mengangkat Kalimah Allah Taala di bumi ini. Alangkah indahnya jika segala keistimewaan yang manusia miliki digunakan untuk menyampaikan kalimah-kalimah Allah dan saling ingat-memperingati antara satu sama lain. Lebih indah dan lebih cantik sekiranya kelebihan yang berbeza-beza ini dihimpunkan, disatukan dan diintegrasikan agar kalimah-kalimah Allah dapat disebarkan dengan lebih sempurna dan effisien kepada seluruh umat manusia . Andainya kepandaian kita dalam penulisan, kepetahan kita dalam berhujah, kecekapan kita dalam pengurusan dan karisma kita dalam memimpin, dihimpunkan, disatukan dan diintegrasikan dalam urusan dakwah, alangkah hebatnya dakwah yang akan dihasilkan.

Cuba kita imbas kembali zaman Rasulullah (s.a.w). Baginda (s.a.w) telah menghimpunkan segala kekuatan para sahabat (r.a) dan menggunakan kekuatan-kekuatan ini sesuai pada tempatnya. Kita mengetahui akan ketangkasan Panglima Islam terulung Khalid bin Al-Walid di dalam medan peperangan. Kita juga mengetahui akan ketinggian ilmu Saidina Ali bin Abi Talib (r.a.). Begitu juga ketegasan Saidina Umar Al-Khattab dan kehebatan Mus’ab bin Umair sewaktu dilantik menjadi duta Rasulullah (s.a.w) selepas perjanjian aqabah pertama untuk mengajar penduduk Madinah. Kekuatan-kekuatan para sahabat ini telah digilap dan dicanaikan sehingga akhirnya Rasulullah (s.a.w) berjaya membentuk sebuah Negara Islam pertama di dunia ini.

Justeru, kumenyeru wahai diriku yang sering alpa sahabat-sahabatku sekalian,

Kenalilah kekuatan dan kelebihan yang ada pada dirimu. Seterusnya gunakanlah ia untuk memartabatkan agama Islam.
Libatkanlah dirimu dalam urusan dakwah yang teratur. Sesungguhnya tiada pekerjaan yang lebih mulia selain pekerjaan Nabi dan RasulNya.
Libatkanlah dirimu dalam amal jama’i (dakwah secara kolektif) agar kekuatan dan kelebihan yang ada pada dirimu dapat memantapkan lagi usaha dakwah yang dilakukan. Sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) amat suka kepada amal jama’i.


Akhir kalam, ingatlah ayat-ayat Allah di bawah sebagai pencetus semangat.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

(Muhammad: Ayat 7)

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya."
(As-Shaff: Ayat 10 – 11)

Photobucket