Pages


Banyakkan Berselawat....

Banyakkan Berselawat....

25 June 2010

KELEBIHAN SEBAGAI SATU ANUGERAH...



Setiap manusia yang berada di dunia ini telah dikurniakan Allah Taala dengan berbeza-beza kelebihan dan keistimewaan. Ada di kalangan manusia yang bijak mengatur bicara, ada yang pandai bermain dengan pena, ada yang tajam pemikirannya dan ada pula yang merdu suaranya. Malah bermacam-macam lagi keistimewaan tersendiri yang dikurnia Allah Taala kepada manusia. Allah Taala telah berfirman di dalam surah Al-Luqman pada ayat ke-27 yang bermaksud,

“Dan kalaulah sekiranya pohon-pohon yang ada di bumi ini (dijadikan) kalam, dan laut pula (dijadikan dakwatnya) ditambah lagi sesudah itu dengan tujuh lautan, tidak akan habis kalimat Allah (untuk dituliskan). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Sungguh tidak terhitung banyaknya nikmat Allah Taala sehingga tiada terdaya untuk manusia menyenarai segala nikmat yang telah dikurniakan. Sebagai hambaNya, pernahkah kita bersyukur di atas segala kelebihan yang ada pada diri kita, yang mungkin orang lain tidak ditakdirkan untuk memilikinya? Pernahkah kita bersyukur atas ketajaman akal kita sebagai seorang pemerintah yang disegani manusia lain? Pernahkah kita bersyukur atas kepakaran kita dalam bidang ilmu sains sehingga mampu mencipta rekaan-rekaan baru yang mampu mengubah nasib manusia lain? Atau pernahkah kita bersyukur atas kehebatan tulisan-tulisan kita sehingga mampu mengubah minda manusia lain yang membacanya? Sama-samalah kita renungkan.


Selain itu pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, ke manakah kita gunakan kelebihan-kelebihan yang telah Allah kurniakan? Adakah kita menggunakannya untuk mendapatkan keredhaan Allah atau adakah kita menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri dengan memperdayakan insan lain? Ingatlah segala-segalanya akan ditanya Allah Taala di padang Mahsyar nanti.

Analogi yang sama juga boleh kita gunakan dalam usaha kita untuk mengangkat Kalimah Allah Taala di bumi ini. Alangkah indahnya jika segala keistimewaan yang manusia miliki digunakan untuk menyampaikan kalimah-kalimah Allah dan saling ingat-memperingati antara satu sama lain. Lebih indah dan lebih cantik sekiranya kelebihan yang berbeza-beza ini dihimpunkan, disatukan dan diintegrasikan agar kalimah-kalimah Allah dapat disebarkan dengan lebih sempurna dan effisien kepada seluruh umat manusia . Andainya kepandaian kita dalam penulisan, kepetahan kita dalam berhujah, kecekapan kita dalam pengurusan dan karisma kita dalam memimpin, dihimpunkan, disatukan dan diintegrasikan dalam urusan dakwah, alangkah hebatnya dakwah yang akan dihasilkan.

Cuba kita imbas kembali zaman Rasulullah (s.a.w). Baginda (s.a.w) telah menghimpunkan segala kekuatan para sahabat (r.a) dan menggunakan kekuatan-kekuatan ini sesuai pada tempatnya. Kita mengetahui akan ketangkasan Panglima Islam terulung Khalid bin Al-Walid di dalam medan peperangan. Kita juga mengetahui akan ketinggian ilmu Saidina Ali bin Abi Talib (r.a.). Begitu juga ketegasan Saidina Umar Al-Khattab dan kehebatan Mus’ab bin Umair sewaktu dilantik menjadi duta Rasulullah (s.a.w) selepas perjanjian aqabah pertama untuk mengajar penduduk Madinah. Kekuatan-kekuatan para sahabat ini telah digilap dan dicanaikan sehingga akhirnya Rasulullah (s.a.w) berjaya membentuk sebuah Negara Islam pertama di dunia ini.

Justeru, kumenyeru wahai diriku yang sering alpa sahabat-sahabatku sekalian,

Kenalilah kekuatan dan kelebihan yang ada pada dirimu. Seterusnya gunakanlah ia untuk memartabatkan agama Islam.
Libatkanlah dirimu dalam urusan dakwah yang teratur. Sesungguhnya tiada pekerjaan yang lebih mulia selain pekerjaan Nabi dan RasulNya.
Libatkanlah dirimu dalam amal jama’i (dakwah secara kolektif) agar kekuatan dan kelebihan yang ada pada dirimu dapat memantapkan lagi usaha dakwah yang dilakukan. Sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) amat suka kepada amal jama’i.


Akhir kalam, ingatlah ayat-ayat Allah di bawah sebagai pencetus semangat.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

(Muhammad: Ayat 7)

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya."
(As-Shaff: Ayat 10 – 11)

Photobucket