Pages


Banyakkan Berselawat....

Banyakkan Berselawat....

17 December 2009

Istikharahku Membisikkan Sesuatu...

Persoalan lazim remaja: "Bagaimana kita nak tahu si dia terbaik untuk kita atau tak?"

"Lepas istikharah mesti nampak dalam mimpi ke?"
"Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia nampak saya dalam mimpi lepas buat istikharah. Macam mana tu? Perlu ke saya terima dia padahal saya tak yakin pun dengannya?"

Apa Itu Istikharah?
Istikharah merupakan suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara berdoa sahaja ataupun sebaik-baiknya solat sunat dahulu dan diikuti dengan doa. Solat ini bukan hanya dilakukan dalam urusan mencari jodoh semata-mata bahkan dalam urusan yang memerlukan membuat pilihan.
Contohnya, nak balik kampung atau ikut program kebajikan, nak beli rumah atau kereta, nak ambil kursus bioteknologi atau biomedik, dan sebagainya. Serahkan kepada Allah dalam membuat pilihan dengan istikharah dan musyawarah(berbincang).
Galakan Istikharah
Ulama salafussoleh bersepakat bahawa istikharah itu sunah bukan wajib.
Kata Jabir bin Abdullah:"Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan sebagaimana Baginda mengajar kami satu surah daripada Al-Quran, sabdanya:'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini..."
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan reda dengan apa yang ditentukan kepadanya. Manakala keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah dan membenci apa yang ditentukan kepadanya."
(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Petunjuk Istikharah Melalui Mimpi
Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Malah boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itu pun suatu petunjuk.
Jika seseorang itu mengalami mimpi yang menyenangkan hatinya setelah istikharah,ianya hanyalah satu bonus daripada Allah s.w.t. buatnya. Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi!
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri untuk memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah bagi kita!
Hatta kalau kita sendiri yang bermimpikan seseorang setelah istikharah, kita mesti memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati dan membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan.
Sebaiknya jangan sandarkan keputusan kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan sunah.

Menunggu, Istikharah dan Usaha?
Ya,wanita juga perlu berusaha. Tapi bagaimana caranya?
Berusaha menyediakan diri sebagai produk "solehah" yang diidam-idamkan. Produk "solehah" yang bermutu tinggi akan mempunyai permintaan tinggi di dunia dan di akhirat. Apabila sesuai masanya dan tepat orangnya,serahkanlah "kesediaan hati" untuk dirisik dan dipinang dengan jalan yang syarak.
Berusaha mengawal diri supaya jangan mudah menyerah dan mudah melayan, kerana wanita sebegini biasanya begitu senang untuk dimiliki oleh lelaki yang tidak berakhlak. Wanita yang senang dimiliki, senang pula untuk dipersia-siakan.
Jika anda terpikat pada agama dan akhlak seorang lelaki dan anda ingin memulakan, pilihlah cara melalui orang tengah. Jangan menghantar hasrat terus kepadanya kerana tindakan itu boleh menjatuhkan martabat dan kemuliaan "malu" anda di matanya.
Jika anda dirisik secara langsung oleh seorang lelaki dan anda memang menyenangi agama dan akhlaknya, serta berkeyakinan dia boleh berubah menjadi lebih baik, mintalah dia merisik dengan cara yang lebih mulia iaitu dengan terus melibatkan ibubapa. Ingatlah bahawa dengan menggunakan orang tengah dapat menjauhi fitnah dan itu adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Jodoh itu telah ditetapkan, bezanya sama ada kita mendapatkannya dengan cara mulia atau cara sebaliknya.....

(dipetik dari Majalah Solusi 14)
Photobucket